dan peluang untuknya terus berjuang, seterusnya melonjakkan nama dalam

IPOH: Pelakon dan pengarah, Khir Rahman hilang kata-kata selepas pemergian Allahyarham Mamat Khalid yang disifatkan penguat semangat dalam perjalanannya sebagai anak seni.

Khir berkata, arwah selalu memberi semangat dan peluang untuknya terus berjuang, seterusnya melonjakkan nama dalam industri lakonan.

“Arwah menjadi punca lonjakan nama saya berada dalam industri seni.”Saya terkejut dan memikirkan bagaimana saya hendak menerima pemergian arwah. Beliau adalah sokongan kuat buat diri saya.”Banyak perkara yang saya tidak dapat berkongsi dengan orang lain, tetapi hanya antara saya dengan arwah.

“Beliau juga pembawa rezeki. Melaluinya, rezeki saya sentiasa ada, itu jasa arwah kepada saya,” katanya kepada BH Online.Katanya, dia memang kerap bertemu arwah sebaik habis penggambaran filem Rock.



“Saya sudah melalui kesedihan teramat sangat ketika menziarahi arwah di hospital apabila melakukan pembedahan sebelum ini,” katanya.

Katanya, arwah adalah insan yang begitu mendalam terhadap filem, seni dan bersifat kemasyarakatan.

“Selagi boleh arwah akan menunaikan hajat rakan, saudara mara dan orang yang dikenalinya.

“Saya sudah kehilangan ramai rakan-rakan yang dijemput Ilahi. Alhamdulillah, kali ini, saya dapat menerima berita pemergian arwah dengan tenang,” katanya.Khir berkata, dia agak terlewat mengetahui berita pemergian arwah berikutan sedang berada di lokasi penggambaran.

“Saya tahu lambat berita pemergian arwah kerana berada di Semenyih. Apabila keluar daripada lokasi baru dapat isyarat telefon dan hanya menyedarinya sebaik sampai di rumah.

“Saya tidak mampu berkata apa-apa, terus mengesahkan berita ini daripada rakan artis lain. Saya bercadang bergerak awal, tetapi akhirnya buat keputusan untuk bergerak pagi ini (semalam) bersama isteri,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenar, Mohamad Mohamad Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, kira-kira jam 12.30 tengah malam, semalam.

Beliau pengsan di restorannya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim, sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

Jenazah disolatkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah, Sungai Rokam, di sini, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh selepas Zohor, semalam.

By admin